Amal
Petang ni Cikgu Saril diajak oleh Cikgu Romi ke Asrama Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) Kuala Lipis, di Bukit Kerpan, Kuala Lipis. Sebelum itu, Cikgu Romi dan Cikgu Zamzarina buat kejutan di hari lahir ke-27 Cikgu Saril dengan sebiji kek dan KFC bucket. Lepas makan-makan, kami ke Kuala Lipis. Terima kasih Abang Mie dan Kak Zam.

Sampai di Asrama JHEOA, kami pun beramah mesra dengan beberapa bekas bekas pelajar Cikgu Saril dan Cikgu Romi. Dalam diam tak diam, tahun demi tahun kumpulan pelajar pertama Cikgu Saril iaitu Tahun 2004, kini telah pun berada di Tingkatan 5 yang kini belajar di SMK Orang Kaya Haji. Suhaini, Riduan, Bah Chai, Wak Nana, Norulaini, Shima dan Wak Ina menyambut kami dengan penuh mesra walaupun sedikit malu. Bila sudah sekian lama tak jumpa, perasaan malu itu sukar untuk dikikis. Tetapi bila dah kerap bertemu pastinya akan wujud kemesraan dan penuh hormat bila jumpa dengan cikgu-cikgu. Begitulah uniknya pelajar-pelajar Orang Asli yang telah Cikgu Saril kenal dan mendidik mereka satu ketika dahulu. Setelah berbual dan bertanya khabar, kami pergi ke Pasaraya Aktif untuk belikan beberapa keperluan untuk bekas-bekas pelajar SK Titom yang kini hanya tinggal 19 orang di sana. Hanya dengan sedikit sumbangan itu kami harap dapat mengisi keperluan mereka di asrama. Selainnya telah pun kembali ke kampung dan tidak meneruskan pelajaran. Sayang sekali.
Harapan Cikgu Saril hanya dengan berbekalkan 19 orang pelajar ini, diharapkan Kampung POS Titom yang banyak mengajar erti kesusahan dan kepayahan untuk Cikgu Saril selama 4 tahun itu, akan terus membangun dan berkembang pada satu hari nanti. Pada minggu lepas, SK Titom telah pun didatangi oleh Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia. Cikgu Saril sedang menunggu perkembangan mengenainya dari Cikgu Noor dan Cikgu Sidi melalui blog mereka.




Kuantan Time








